بسم الله الرحمن الرحيم…..

Membentuk Personaliti REMAJA…

“PERINGKAT remaja merupakan suatu proses membesar dan menjadi individu matang serta mempunyai sikap yang positif dalam pergaulan masyarakat di peringkat dewasa. Bagi golongan kanak-kanak, mereka akan memasuki tahap remaja pada usia 13 tahun. Manakala remaja pula akan melangkah ke alam dewasa dalam lingkungan umur 19 tahun. Ini bermakna, seseorang manusia akan berada di alam remaja selama lebih kurang tujuh tahun. Di peringkat inilah remaja akan melalui pelbagai perubahan sama ada dari sudut mental, fizikal, emosi, dan personaliti.

Pembentukan personaliti remaja merupakan hasil dari interaksi faktor-faktor genetik dan persekitaran. Faktor-faktor genetik datangnya daripada ibu bapa yang melahirkan remaja tersebut. Manakala faktor-faktor persekitaran terdiri daripada pengaruh rakan sebaya dan sistem sosial dalam masyarakat, corak asuhan, didikan agama dan gaya hidup.

Dalam konteks ini, didikan agama akan menentukan matlamat hidup dan nilai-nilai akhlak serta kepercayaan remaja. Keseimbangan beragama dengan mengisi kehidupan ini dengan aktiviti-aktiviti berfaedah hendaklah diamalkan oleh remaja demi kesejahteraan hidup mereka. Kehidupan remaja muslim hendaklah sentiasa berpandukan al-Quran dalam mencapai matlamat hidup mereka.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Sesiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, rasul-rasulNya dan hari kiamat, sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya.” (An-Nisa’ : ayat 136)

Sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w., para sahabat dan tabi’en hingga kurun ketiga hijrah memperlihatkan bahawa mereka menjalani hidup berasaskan roh Islam yang bukan sahaja berjaya membentuk mereka menjadi ‘insan rabbani’ malah berjaya menjadi benteng yang kukuh dalam melayari hidup di dunia yang penuh dengan ujian.

Kehidupan Rasulullah s.a.w. sendiri baik semasa remajanya atau setelah dilantik sebagai rasul memperlihatkan kepada umat manusia bahawa baginda mempunyai akhlak dan keimanan yang tinggi yang telah membawanya ke maqam (kedudukan) manusia yang teragung. Pengiktirafan ini bukan sahaja dinilai oleh para sahabat baginda bahkan diakui sendiri oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya yang bermaksud :

“Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat terpuji.” (Al-Qalam : ayat 4)

Dalam konteks kehidupan yang semakin berubah hari ini, remaja muslim perlu memiliki ciri-ciri keunggulan iaitu dari segi keperibadian, kemahiran, penguasaan ilmu dan pengetahuan agama. Perubahan dan evolusi kehidupan masa kini sebenarnya membuka ruang yang begitu luas kepada remaja untuk menentukan dan mencorakkan apa yang mereka inginkan. Kemudahan teknologi masa kini telah menambah nilai sedemikian ke tahap di mana kawalan tidak lagi dapat dilakukan secara menyeluruh terutama aspek-aspek negatif yang dibawa dari kemajuan itu. Namun demikian, remaja muslim perlu menjadikan keadaan dan perubahan sedemikian bukan sebagai asas untuk mereka terjerumus ke lembah masalah sosial yang tidak mendatangkan faedah.

Maka dengan sebab itulah para remaja perlu menjadikan asas-asas agama, akhlak dan menghormati ibu bapa sebagai sesuatu yang wajib untuk dipenuhi. Di samping itu, keindahan budi bahasa dan kesantunan masyarakat kita amat sesuai dijadikan sebagai pakaian dan amalan yang amat digalakkan oleh agama Islam. Budaya moden hari ini bukanlah semuanya tidak baik tetapi biarlah ianya sesuatu yang bersesuaian dengan kehendak agama dan cara hidup kita. Jangan kita terlalu mudah untuk mengambil jalan pintas semata-mata mencari keseronokan segera yang hanya seketika dapat dinikmati.

Setiap remaja harus memahami tujuan mereka dilahirkan di dunia ini dengan mempersiapkan diri sebagai khalifah Allah. Mereka harus mempunyai tujuan dan kesungguhan sebagai insan yang taat dan kreatif. Matlamat hidup yang tidak bercanggah dengan kehendak Islam hendaklah disemai ke dalam diri seseorang remaja jika mereka mahu berjaya dan maju sebagai generasi yang unggul, cemerlang dan diberkati.

Remaja muslim juga memerlukan kemahiran pengendalian diri kerana mereka belum mempunyai pengalaman yang cukup untuk memastikan diri mereka betul-betul berada di landasan yang benar. Ini kerana, zaman keremajaan banyak menyentuh perasaan seseorang remaja sehingga menimbulkan jiwa yang sensitif dan peka terhadap diri dan persekitarannya. Perkembangan ini ditunjukkan dengan cepatnya pertumbuhan fizikal dan seksual. Akibat dari pertumbuhan fizikal dan seksual yang cepat itu maka timbullah pergolakan dalam diri remaja khususnya dalam memahami hubungan antara berlainan jantina.

Remaja yang merasakan bahawa fizikalnya sudah seperti orang dewasa sehingga dia merasa perlu untuk bersikap seperti orang dewasa untuk menutup keadaan dirinya yang sebenar harus memahami bahawa anggapannya itu hanyalah sekadar imaginasi atau peniruan. Justeru, remaja harus bijak mengendalikan diri dalam menghadapi dunia yang penuh dengan aneka godaan dan dugaan ini. Hindarilah diri dari hanya mengikut kehendak hati, tapi gunakanlah fikiran agar setiap keputusan yang diambil benar-benar mengikut aspirasi ibu bapa, masyarakat dan agama.

Al-Quran mengemukakan penjelasan bahawa manusia terdiri dari dua unsur iaitu unsur rohani dan jasmani. Rohani dianggap sebagai teras dan pemandu manakala jasmani sebagai kenderaan dalam melayari kehidupan di dunia ini. Inilah identiti keinsanan yang dijelaskan oleh al-Quran.

Namun apa yang berlaku ialah berlakunya pemisahan dua unsur tersebut dalam kehidupan remaja pada hari ini dan yang lebih parah lagi berlakunya penyelewengan terhadap fungsi bagi kedua-dua unsur tersebut dengan menjadikan unsur jasmani sebagai alat utama dalam menjalani hidup di dunia. Akibatnya, kehidupan remaja mengalami pelbagai gejala yang buruk dan timbul krisis sosial yang hebat. Justeru itu, tumpuan harus diberikan kepada pembinaan rohani remaja yang meliputi asas-asas didikan agama yang sempurna.

Kehidupan Rasulullah s.a.w. yang berasaskan tarbiah Islam telah menjadikan seluruh kehidupan baginda sebagai ibadat dan pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Keadaan ini membawa erti bahawa nilai-nilai akhlak, peribadi, sikap, tindakan, percakapan dan wawasan hidup baginda ialah berasaskan nilai-nilai Islam yang dididik oleh Allah s.w.t. sesuai dengan kedudukan baginda sebagai kekasih Allah. Jelas sekali ketinggian peribadi Islam ini telah membawa satu perjalanan hidup yang positif. Oleh sebab itulah Rasulullah s.a.w. merupakan contoh teladan yang abadi di sepanjang zaman dan generasi manusia.

Setiap manusia akan melalui proses pembelajaran dalam kehidupannya. Proses pembelajaran ini akan membentuk personaliti manusia. Menurut Imam al-Ghazali, personaliti manusia adalah berasaskan sifat-sifat kerohanian dan kejiwaan. Jiwa remaja terdapat unsur-unsur seperti hati, roh, nafsu dan akal yang mempengaruhi pemikiran mereka. Akal secara fizikal merupakan otak dan dari sudut kerohaniannya mempunyai kemampuan untuk menyerap ilmu melalui organ-organ deria dan menjalani proses pembelajaran.

Akal merupakan suatu unsur yang istimewa dalam tubuh remaja. Unsur penting dalam akal ialah ia mempunyai daya kekuatan untuk menganalisis sesuatu perkara dan menghasilkan persepsi sama ada ia suatu kebaikan atau keburukan. Manusia yang tidak berakal akan rosak personalitinya seperti orang gila.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Tidak adalah usaha seseorang seperti keutamaan akal yang memberi petunjuk kepada tuannya itu dan mengelakkan dari jalan yang hina. Tidak sempurnalah iman seseorang dan tidak berdiri tegak agamanya sebelum akalnya itu sempurna.”

Akal berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi atau menyucikannya dan menghampirkannya kepada Allah s.w.t. Menurut Imam al-Ghazali, jasad dihubungkan dengan roh melalui hati. Hati menjadi sumber kerohanian yang terpancar untuk seluruh diri manusia. Hati mengatur tingkahlaku remaja dan memainkan peranan penting dalam tingkahlaku mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :

“Ingatlah, dalam jasad kamu itu ada seketul daging, jika ia sihat maka sihatlah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, maka rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah bahawa daging itu adalah hati.”